Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – PKR dalam mesyuarat biro politiknya malam tadi memutuskan kesemua lantikan wakil parti itu dalam kerajaan Kelantan diminta melepaskan jawatan serta-merta.

Perkara itu telah disampaikan kepada pimpinan PKR di negeri itu, kata presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan.

Mengenai nasib Exco Pas di Selangor, katanya, mesyuarat yang sama juga akan memutuskan perkara itu bersama Menteri Besar Selangor sebaik sahaja Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pulang dari luar negara.

“PKR menerima keputusan muktamad Pas membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR tetapi PKR menolak alasan-alasan yang telah mereka (Pas) berikan,” katanya sambil menambah pihaknya sentiasa menjaga hubungan dengan Pas selama ini sebagai rakan pembangkang.

Justeru, katanya, PKR akan meneruskan usaha kerjasama dengan rakan parti dalam Pakatan Harapan bagi mempersiapkan diri menghadapi PRU-14 kelak.- MalaysiaGazette