Datuk Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyemak mana-mana rakyat yang mempunyai dua kewarganegaraan.

Gesaan itu dibuat oleh Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan setelah melihat ia perlu bagi menjaga aspek keselamatan negara agar tidak mudah dibolosi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda menjatuhkan kerajaan.

“Saya menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) semalam, kerajaan harus bertindak tegas terhadap mereka yang memiliki dua kewarganegaraan.

“Saya minta kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak mana-mana rakyat yang mempunyai identiti kewargaan negara lain kerana saya percaya masih ada banyak dikalangan rakyat kita yang mempunyai dua atau lebih kewarganegaraan.

“Kerajaan harus serius dalam menangani masalah. Tidak guna kita beri kewarganegaraan dan pelbagai peluang kepada mereka yang memberi ketaatan kepada negara lain,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal pro Barisan Nasional.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata, kewarganegaraan seseorang rakyat Malaysia akan gugur secara automatik sekiranya didapati pernah memegang dua kewarganegaraan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, situasi itu jelas terkandung dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan mana-mana rakyat Malaysia akan terbatal kewarganegaraan jika pernah memohon dan menjadi warganegara negara lain. – MalaysiaGazette