KUALA LUMPUR – Polis menahan 25 warga asing dipercayai terlibat dalam penipuan Macau Scam yang dipercayai melakukan 270 kes penipuan melibatkan kerugian berjumlah RM9.49 juta.

Serbuan itu dilakukan di sebuah rumah banglo di Shah Alam yang dijadikan pusat operasi sindiket tersebut.

Pengarah Siasatam Jenayah Komersil, Datuk Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, mereka yang ditahan itu adalah 20 warga China dan lima Taiwan membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita.

Mereka berusia 20 hingga 30 tahun.

Kumpulan ini dikesan menggunakan Protokol Suara Internet (VoIP) untuk menyamar sebagai pegawai bank, polis, pegawai mahkamah dan pegawai syarikat telekomunikasi untuk memperdayakan mangsa sehingga mangsa membuat pemindahan akaun yang ditetapkan oleh pihak sindiket.

“Siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai syarikat telekomunikasi di Taiwan.

“Mereka memaklumkan mangsa mempunyai hutang Internet yang besar dan diminta menyelesaikan dengan secara melalui pemindahan wang ke dalam akaun yang ditetapkan di Taiwan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta Toyota Velfire, 10 pasport China dan lima Taiwan, skrip yang digunakan dan pelbagai peralatan telekomunikasi dan telefon bimbit.

Semua tangkapan ini diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.

Kejayaan itu hasil kerjasama polis Malaysia dan Taiwan sepanjang empat bulan tahun ini.

Dalam pada itu, Acryl mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan kegiatan penipuan ini. Jika berlaku situasi itu, segera berhubung dengan bank, syarikat dan agensi berkaitan. – MalaysiaGazette