TOKYO – Status diraja Puteri Mako akan dilucutkan jika beliau mengahwini orang biasa.

Puteri Mako adalah cucu perempuan sulung Maharaja Akihito.

Beliau dilaporkan akan bertunang dengan pekerja firma undang-undang, Kei Komuro, 25.

Pasangan itu berkenalan ketika menuntut bersama-sama di Universiti Antarabangsa Kristian di Tokyo pada tahun 2012.

Undang-undang diraja Jepun memperuntukan puteri raja perlu meninggalkan keluarganya selepas berkahwin dengan orang biasa.

Isu itu dijangka diperdebatkan kerana bilangan keluarga diraja Jepun semakin mengecil.

Bagaimanapun, Komuro enggan mengulas cadangan pertunangan beliau.

“Sekarang bukan masa untuk mengulas tetapi saya akan bercakap pada masa sesuai,” katanya.

Pentadbir Istana mengesahkan rancangan pertunangan itu akan dilangsungkan.

Maharaja Akihito, 83, membayangkan mahu turun tahkta kerana usianya menyukarkan baginda menjalankan tugas.

Jepun kini menimbangkan perubahan undang-undang untuk membolehkan maharaja untuk turun takhta.

Tidak pernah berlaku seorang maharaja Jepun turun takhta dalam dua abad sebelum ini.

Undang-undang negara itu setakat ini tidak membenarkan perubahan pengganti lelaki sebagai maharaja.

Terdapat hanya empat waris kepada Chrysanthemum Throne iaitu anak Mahajaraja Akihito, Putera Mahkota Naruhito dan Putera Akishino serta Putera Hisahito (anak Putera Akishino) dan adik maharaja, Putera Masahito. – MalaysiaGazette