KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa Datuk Vincent Leong Jee Wai (Vincent Leong) kerana didakwa melakukan dagangan orang dalam bagi saham Maxbiz Corporation Berhad (Maxbiz).

Vincent Leong, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi atas dua pertuduhan menyampaikan maklumat bukan awam antara November 2010 dan Januari 2011 untukĀ  Leong Wye Keong apabila beliau sepatutnya tahu bahawa Wye Keong akan cenderung untuk melupuskan saham Maxbiz.

Ketika itu, Vincent Leong adalah Pengarah Urusan Maxbiz.

Maklumat bukan awam bagi pertuduhan pertama berkaitan dengan penurunan dalam ekuiti pemegang saham Maxbiz yang hampir kepada Maxbiz yang diklasifikasikan sebagai bermasalah daripada segi kewangan.

Tuduhan kedua melibatkan klasifikasi Maxbiz sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).

Vincent Leong mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Puan Azian Othman menetapkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin.

Vincent Leong juga telah diarahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Dagangan orang dalam boleh dihukum di bawah Seksyen 188 (4) CMSA, dengan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta. – MalaysiaGazette