Reaksi ceria Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaludddin sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (dua kanan), Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Marathamuthu Subramaniam (kanan) dan Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo (kiri) pada Majlis Perasmian Larian Sukan Sea 2017 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALM, 22 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Sebagai menyediakan lebih banyak peluang orang awam menyertai temasya KL 2017, selain atlet, rakyat Malaysia disediakan satu lagi acara popular iaitu Larian Sukan SEA KL 2017.

Larian itu bertujuan memeriahkan lagi temasya kali ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 bersempena dengan Maraton Sukan SEA sejauh 42.195 kilometer yang ditetapkan pada 19 Ogos 2017.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata larian itu terbuka kepada orang ramai dan akan bermula pada 7 pagi Sabtu, 19 Ogos ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

“Penganjuran larian ini oleh Pengelola Malaysia dengan Kerjasama Majlis Olimpik Malaysia dan kesatuan Olahraga Malaysia bertujuan menyediakan lebih banyak peluang untuk orang awam turut menyertai temasya KL2017 ini.

“Ia juga merupakan selari dengan tema sukan iaitu ‘Bangkit Bersama’ yang bersikap inklusif dan menjadi panduan dalam merancang pelbagai inisiatif memperbanyakkan penyertaan masyarakat beramai-ramai dalam temasya terbesar rantau ini,” katanya dalam sidang media khas Stadium Negara, Bukit Jalil di sini.

Tambah Khairy, larian itu terbuka kepada rakyat Malaysia dan warga asing yang berusia18 tahun dan ke atas bagi kategori 15 kilometer untuk lelaki dan wanita dengan yuran penyertaan RM60.

Sementara, bagi keluarga, kanak-kanak atau mereka yang mahu lebih bersantai, mereka boleh mendaftarkan diri untuk kategori 5 kilometer tanpa sebarang had umur dengan yuran RM50 sahaja.

“Larian Sukan SEA melibatkan rakyat akan dimulakan selepas 7 pagi iaitu sejam selepas peserta Marathon 42.195 km dilepaskan.

“Ini bukanlah satu pertandingan dan tiada hadiah tempat teratas disediakan kerana apa yang lebih penting bagi kami ialah orang awam turun padang beramai-ramai menyatakan sokongan kepada peserta Maraton Sukan SEA pada hari pertama temasya KL2017 ini.

“Maka kami amat menggalakkan orang ramai yang telah menamatkan larian awal untuk menunggu pelumba Maraton Sukan SEA yang dijangka tiba sekitar 8.30 pagi di garisan penamat untuk memberi sokongan padu memeriahkan temasya kali ini,” ujarnya.

Khairy juga berjanji setiap peserta yang menamatkan Larian Sukan SEA KL2017 akan menerima pingat direka khas dan siji penyertaan, kemeja-T dan goodie bad sebagai tanda ingatan larian bersejarah ini.

Pendaftaran dibuka bermula hari ini dan tarik tutup penyertaan adalah pada 30 Jun ini.

“Kami mensasarkan sekitar 20,000 orang peserta sahaja dan sebarang maklmat dan borang pendaftaran boleh diperoleh dengan melayari www.kualalumpur2017.com.my.

“Hebahan larian ini amat penting untuk kita sebagai satu jiwa memeriahkan lagi suasana temasya kali ini terutamanya upacara pembukaan rasmi KL2017 pada malam sama,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette.