Direktur Penelitian dan Pengembangan Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Wawan Wardiana bercakap pada sidang media semasa Forum Anti-Corruption Agency (ACA) ke 8 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Hotel Pullman City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Di Indonesia, rasuah melibatkan indvidu berkepentingan dan sebagainya sangat dibenci oleh masyarakat, sehingga mereka berani tampil ke hadapan membantu negaranya memerangi rasuah.

“Kalau di Indonesia sokongan daripada masyarakat sangat tinggi, rakyat tidak suka, sehingga mereka sanggup bersama-sama berdiri kuat menyerang pengamal rasuah.

“Mereka yang selalunya akan ke hadapan dan kekuatan agensi korupsi kita adalah masyarakat,” kata  Direktur Penelitian dan Pengembangan Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Wawan Wardiana.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Forum Anti-Corruption Agency (ACA ke-8 di Pullman Hotel City Centre, Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Wawan mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mendapatkan sokongan kuat daripada rakyat di negara ini bagi membantu agensi itu memerangi rasuah dengan lebih berkesan.

Berdasarkan laporan tahun lalu,Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata hanya 0.01 peratus atau 162 orang daripada 1.6 juta penjawat awam sahaja yang berani melaporkan rasuah di dalam jabatan masing-masing.

Kesedaran pekerja baik penjawat awam atau swasta untuk melaporkan jenayah rasuah dalam kalangan rakyat adalah sangat rendah.

Malah berdasarkan laporan Barometer Rasuah Global (GBC) 2017 yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M) mendapati kebanyakan rakyat Malaysia tidak percaya terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani rasuah.

Bagaimanapun, Wawan turut memuji tindakan efektif SPRM memerangi rasuah dengan mempunyai banyak cawangan SPRM di setiap negeri.

Malah banyak perkongsian daripada pihak SPRM akan membantu penambahbaikan agensi negara tersebut pada masa akan datang.

Beliau turut mencadangkan SPRM menyediakan aplikasi di telefon pintar serta teknologi lain bagi memudahkan rakyat melaporkan aktiviti rasuah tanpa pendedahan identiti yang mana selama ini menjadi satu ketakutan kepada mereka.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Anti Rasuah dan Hak Asasi Manusia (ACRC) Korea Selatan, Park Gae-ok juga turut mengagumi SPRM kerana mempunyai bidang kuasa yang sangat luas dalam memerangi rasuah.

Beliau turut memuji tindakan Malaysia yang mempunyai akses pendidikan bagi mendidik masyarakat untuk mengatakan tidak kepada rasuah selain begitu efektif menahan individu yang mengamalkan rasuah. – MalaysiaGazette