Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) memimpin tangan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Pelancaran Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Marriot, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 25 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi mesej khas kepada semua agar memberikan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan kerajaan sedia ada.

Dalam syarahannya di Putajaya hari ini, Najib beberapa kali menekankan pentingnya kesetiaan terhadap kepimpinan negara, UMNO dan kerajaan.

“Saya ingin menghargai kesetiaan Tun Abdullah selama ini, yang walau apa pun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama saya, pihak kerajaan, parti UMNO dan BN.

“Bahkan, lebih menyentuh dan mengharukan, betapa tingginya nilai kasih sayang Pak Lah kepada parti dan negara, beliau menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia kepada saya dengan penuh tertib dan kemuliaan parti,” katanya.

Najib, sempena majlis Perasmian Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putarajaya, dalam teks ucapannya hari ini turut menghadiahkan beberapa baris puisi kepada bekas Perdana Menteri ke-5 itu yang berbunyi:

Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang kami kasihi,

Tokoh budiman kelahiran Kepala Batas, keturunan pula golongan agamawan,

Dirimu bukan sahaja seorang pemimpin yang dihormati, ,

Dirimu juga adalah sahabat yang sejati,

Dirimu tidak pula sekadar insan berjiwa mulia,

Dirimu juga sesungguhnya, seorang Negarawan yang setia,

Dirimulah contoh sebagai tauladan,

Kepada Tuhan saya berdoa, agar Pak Lah dipelihara Allah sampai bila-bila.

Dalam syarahan itu juga, sebagai penghargaan kepada usaha penganjuran program bersifat ilmiah dan advokasi melalui Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib meluluskan dana sebanyak RM5 juta, demi Pak Lah. – MalaysiaGazette