Sallehen Mukhyi

KUALA LUMPUR – Tiga Exco Pas yang dikekalkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) menyatakan akan terus gigih dalam memberikan khidmat cemerlang kepada kerajaan negeri.

Semua itu demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik yang menjadi keutamaan dan tiada tukar ganti, kata Sallehen Mukhyi.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, Pas Selangor akan terus menggunakan budaya politik matang dan sejahtera dalam menghadapi situasi yang mendatang.

“Berpolitik secara santun, berpolitik secara hujah bukan sumpah seranah, berpolitik secara rasional dan bukan emosional adalah antara keperluan bagi memastikan kestabilan kerajaan tercapai.

“Bagi pihak-pihak yang sering mengeluarkan perkataan sumbang, yang dengki dengan kejayaan Kerajaan Selangor dan yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana konflik politik di Selangor harap dapat mengambil pengajaran dan peringatan terhadap titah DYMM Tuanku Sultan Selangor serta meyakini pendirian yang telah dinyatakan oleh Presiden PKR,” tegas beliau menerusi kenyataan hari ini.

Sallehen menambah, sama ada ketika kerajaan negeri dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kini Azmin, Pas Selangor percaya kesetiaan dan keykinan terhadap pemimpin yang diperkenan baginda sultan adalah asas penting untuk mempastikan kestabilan politik dapat dipelihara dengan baik.

“Pas Selangor begitu teguh dan setia bersama-sama dengan semua menteri besar yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor,” ujarnya.

Sallehen berkata demikian sebagai respon terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung keputusan mengekalkan tiga Exco daripada Pas di dalam MMKN. – MalaysiaGazette