Azizi Safar

PULAU PINANG – Rang undang-undang yang membolehkan pinjaman dibuat daripada bank asing termasuk daripada China boleh menyebabkan penduduk negeri ini menanggung hutang yang berpanjangan.

Sambil mempersoalkan rang undang-undang itu yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan pertikaian yang timbul daripada dasar tersebut.

Antaranya, kata beliau, berhubung jumlah sebenar pinjaman yang mahu dibuat dengan bank asing itu khususnya Exim Bank of China yang didakwa berminat memberikan pinjaman tersebut.

Dalam masa sama, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan kaedah pelaksanaan bayaran hutang daripada bank asing itu kelak kerana dibimbangi bakal menyaksikan aset-aset kerajaan negeri terlepas ke tangan pihak asing.

“Apakah tanah-tanah di tiga buah pulau buatan yang dirancang di selatan tanah air negeri ini akan dicagarkan atau diberi milik kepada Exim Bank of China sebagai bayaran balik pinjaman itu kelak?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sidang DUN semalam meluluskan Rang Undang-Undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membenarkan kerajaan negeri meminjam daripada bank asing bagi menggerakkan projek di negeri ini.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu yang dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dipertikai beberapa wakil rakyat kerajaan negeri sendiri antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kebun Bunga, Cheah Kah Peng; ADUN PKR Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan ADUN DAP Berapit, Lydia Ong Kok Fooi.

Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini sedang merancang melaksana Pelan Induk Pembangunan (PIP) negeri yang menelan kos kira-kira RM46 bilion membabitkan beberapa projek mega.

Antaranya projek tambakan laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Permatang Damar Laut di sini seluas kira-kira 1,800 hektar yang dibantah rakyat khususnya golongan nelayan dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Azizi turut mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang memperincikan manfaat yang bakal diterima secara langsung oleh penduduk negeri ini daripada pinjaman yang dibuat dengan bank asing tersebut.

Apa yang membimbangkan, kata beliau, pinjaman itu kelak akan menyebabkan penduduk negeri ini terpaksa menanggung beban untuk membayar hutang tersebut untuk satu tempoh panjang.

“Mahu buat pulau berhutang, untuk buat transit aliran ringan (LRT) pun berhutang. Sampai bila rakyat Pulau Pinang perlu menanggung hutang ini?

“Kerajaan DAP Pulau Pinang juga perlu ingat hutang aset air kepada Kerajaan Persekutuan pun masih ada 40 tahun lagi,” katanya. – MalaysiaGazette