Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima cenderahati berupa Menara Jam Mekah daripada Duta Besar Kerajaan Arab Saudi di Malaysia, Syeikh Mahmud Hussin Qottan (tengah) pada Majlis Penyampaian Kurma Sumbangan Penjaga Dua Tanah Suci Dan Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 26 MEI 2017

PUTRAJAYA – Sempena menyambut Ramadan esok, kerajaan Arab Saudi buat julung kalinya menyumbangkan sejumlah 10 tan kurma kepada seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Jumlah itu merangkumi 574 kotak kurma yang dihadiahkan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Raja Salman diwakili Duta Kerajaan Arab Saudi, Mahmud Husin Qottan dan diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Masjid Putra, Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Malah 4,000 pek kecil kurma turut diagihkan kepada jemaah masjid.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan program Ihya Ramadan peringkat kebangsaan 1438H yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ia bertujuan bagi mengeratkan silaturrahim dan kebersamaan JAKIM dengan masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan. -MalaysiaGazette.