KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memerlukan masa untuk memantau perkhidmatan e-hailing termasuk Uber dan Grab di negara ini sebelum meluluskan aplikasi berkenaan sebagai cara pengangkutan yang sah.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, keadaan itu berlaku selepas pihaknya menerima banyak aduan termasuk yang serius mengenai aplikasi tersebut.
Syed Hamid mengulas perkara itu selepas seorang wanita mengandung disamun semasa menggunakan perkhidmatan Uber.
Syed Hamid berkata, kerajaan perlu mamastikan Uber dan Grab mempunyai sistem pemantauan dan pengurusan yang baik serta melindungi kepentingan dan keselamatan penumpang sebelum meluluskan perkhidmatan tersebut.
Beliau memberitahu China Press, Uber dan Grab umpamanya perlu menyaring identiti calon pemandu termasuk melakukan semakan dengan polis.
Katanya, penyedia perkhidmatan e-hailing juga perlu melakukan penilaian berterusan ke atas pemandu mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, polis telah menahan dan sedang menyiasat pemandu Uber yang dilaporkan menyamun seorang wanita mengandung di Puchong Jaya, Selangor.
Pemandu Uber itu yang ditahan di Pagoh, Johor bagaimanapun menafikan terlibat dalam menyamun dan bertegas bahawa tidak mengenali mangsa atau suspek kedua yang dilaporkan turut terbabit dalam kegiatan jenayah tersebut.
Polis Serdang di Selangor bagaimanapun mencurigakan kebenaran keterangan suspek pertama kerana dia pernah dilihat turun kereta untuk mengisi minyak di stesen minyak bersama suspek kedua.
Dalam perkembangan lain, seorang warganegara Nepal dilaporkan kehilangan RM4,000 semasa menaiki teksi dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mangsa yang bekerja di Pulau Pinang dan bercadang balik ke negara asal telah dirompak pemandu teksi dan seorang rakannya yang dipercayai keturunan India.
Mangsa yang dirompak telah ditinggalkan di tepi jalan dan dihantar oleh orang ramai untuk membuat laporan polis di balai berhampiran.