Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas

KUALA LUMPUR – Presiden myPPP tidak berganjak mahu bertanding di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah Tan Sri M. Kayveas yakin partinya itu akan mewakili Kabinet selepas pilihan raya umum.

“Mungkin ada kata-kata myPPp tidak ada kerusi dan perlu menyokong calon lain.

“Tetapi itu tidak akan berlaku, dan myPPP tidak akan berganjak daripada keputusannya, saya tetap bertanding dan menang di Cameron Highlands dan akan masuk Kabinet,” kata beliau di ibu negara.

Beliau berkata demikian semasa berucap dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan myPPP Bukit Bintang 2017 di Dataran Merdeka di sini.

Turut hadir pasa mesyuarat itu ialah Pemuda MCA dan UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Ketua Pemuda myPPP Kebangsaan, Sathiah Sudakaran.

Tambah Kayveas yang juga Penasihat Khas kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, masanya sudah berubah dan rakyat khususnya masyarakat India mahukan perubahan ketara dari segi kepimpinan.

Jelas beliau, kini myPPP sudah mempunyai kekuatan dan berupaya bertanding di semua bahagian pada pilihan raya umum akan datang.

“Masanya telah tiba untuk memastikan pemimpin kedua mewakili masyarakat India dari parti lain menganggotai kabinet.

“Saya akan pastikan misi itu direalisasikan kerana mahu memastikan permasalahan yang dihadapi masyarakat India dan rakyat secara umum di peringkat akar umbi memerlukan penyelesaian serius,” tambah beliau.

Sehubungan itu beliau meminta barisan pemuda komponen Barisan Nasional termasuk myPPP mengembleng tenaga dan mendukung amanat Perdana Menter,i Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjuarai suara rakyat secara ikhlas.

“Kita tidak mahukan lakonan dan drama politik semata-mata memenangi rakyat untuk PRU sahaja.

“Kami mahu berjuang, menangani masalah dan mensejahterakan rakyat secara serius dengan semangat 1Malaysia dan BN terus menjadi pilihan tetap selama-lamanya di negara ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette