Kursus bahasa Cina pada masa ini ditawarkan selama dua minggu untuk membolehkan pegawai polis mempelajari dialog mudah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Bukit Aman telah mengeluarkan “arahan integriti” selepas beberapa pegawai polis disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dengan penyelewengan tugas.
Arahan itu juga dilihat menjurus kepada  D7 yang dilaporkan menjadi sasaran siasatan SPRM yang seterusnya selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
China Press melaporkan, “arahan integriti” berkenaan menunjukkan komitmen Bukit Aman untuk membersihkan imej polis daripada anasir negatif.
Arahan itu antaranya mengkehendaki pegawai dan anggota Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi & Maksiat) yang bertugas lima tahun ke atas ditukar ke jabatan lain untuk mengelakkan mereka bersubahat dengan sindiket jenayah.
Sumber polis memberitahu bahawa tindakan SPRM adalah bermula daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tetapi kini mula ‘menular’ kepada D7.
Keadaan itu mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) “mengingatkan” warga D7 supaya bebas daripada sebarang jenayah.
“Kerja D7 adalah mirip kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan banyak berurusan dengan organisasi dan sindiket haram.
“Anggota dan pegawai yang tidak tahan dengan godaan mungkin akan dimanipulasi oleh penjenayah,” kata sumber.
Dalam pada itu, Bukit Aman juga mengarahkan supaya semua aktiviti termasuk sukan yang mewah seperti kegiatan berkaitan golf, motosikal berkuasa tinggi dan pertandingan menggunakan basikal mahal dihentikan.
Segala majlis yang diadakan termasuk semasa menyambut ketibaan pegawai tinggi hanya boleh dijalankan secara sederhana.
Selain itu, anggota juga dilarang memberi hadiah mahal seperti cigar, beg tangan mewah dan jam tangan berjenama mewah kepada pihak atasan mereka.
Bukan setakat itu, menghadiahkan rokok kepada pegawai atasan mungkin juga menyebabkan seseorang anggota polis dipantau oleh Jabatan Integriti Bukit aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan arahan yang telah dikeluarkan dan memberitahu bahawa ia bertujuan memastikan anggota dan pegawai polis bebas daripada penyelewengan. – MalaysiaGazette