Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (tiga, kiri), Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tiga, kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim, Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar (dua, kanan) membuka kotak bungkusan yang akan diedarkan kepada anggota keselamatan yang bertugas sempena Aidilfitri pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Pasukan Keselamatan Negara 2017 hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Kesejahteraan dan keamanan negara tidak akan wujud tanpa pengorbanan serta kesanggupan anggota keselamatan bertugas tanpa mengira masa termasuk pada musim perayaan, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) berkata anggota keselamatan negara yang bertugas di perbatasan, belantara dan di lautan biru terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak demi menjalankan tanggungjawab kepada negara.

“Segala pengorbanan dan jasa bakti yang dicurahkan pasukan keselamatan negara adalah tidak ternilai harganya. Walaupun tidak setimpal dengan budi yang ditabur, sumbangan yang kami berikan ini lahir daripada hati yang tulus ikhlas sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang terhadap segala pengorbanan mereka,” katanya.

Rosmah berucap pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada anggota keselamatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Pada majlis itu, Rosmah yang mewakili Bakti menyerahkan 57,000 bungkusan juadah raya bernilai RM541,500 mengandungi menu istimewa iaitu nasi beriani, ayam masak merah, dalca sayur, acar buah dan bawang goreng kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan APMM.

Daripada jumlah itu, 20,000 bungkusan diserahkan kepada ATM, 30,000 bungkusan (PDRM) dan 7,000 bungkusan (APMM).

Rosmah berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, Bakti menjalankan tanggungjawab menghulurkan sumbangan hari raya kepada anggota keselamatan negara untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti mereka kepada negara.

“Hakikatnya, sumbangan ini adalah tanda ingatan ikhlas yang diiringi doa dan harapan semoga pasukan keselamatan negara yang bertugas dapat merayakan Aildilfitri dengan meriah malah dapat merasai secebis keriangan suasana Hari Raya sewaktu bertugas,” kata isteri perdana menteri itu.

Selain menzahirkan penghargaan buat anggota keselamatan, Rosmah turut mengagumi ketabahan, ketaatan dan kasih sayang isteri mereka yang perlu berjauhan daripada suami yang bertugas di bulan Ramadan.

— BERNAMA