Dua anggota polis dari Melaka ketika dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah reman berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan pegawai polis berpangkat ASP selepas direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan ketua jabatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Melaka itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000.

Sejak 16 Mei, seramai 13 individu termasuk sembilan pegawai dan anggota polis ditahan dalam operasi SPRM bagi menyiasat kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang dari pengusaha pusat judi dan rumah urut haram di Melaka.

Pembebasan pegawai polis berumur 51 tahun itu hari ini menjadikan kesemua sembilan pegawai dan anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan SPRM dibebaskan.

Sebelum ini, tujuh pegawai dan anggota polis termasuk dua ketua polis daerah dibebaskan minggu lepas dan seorang polis berpangkat DSP dibebaskan pada Isnin.

Dari empat orang awam yang ditahan berkaitan kes tersebut, seorang pemandu van dibebaskan semalam.

Sementara itu, tempoh reman tiga orang awam yang turut dikaitkan dengan kes berkenaan disambung dua hari lagi mulai esok selepas ditahan reman sejak Ahad lepas.

Mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

— BERNAMA