Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan Malaysia membuat perubahan polisi dengan menghentikan serta merta hidangan minuman beralkohol yang boleh memberikan ancaman terhadap keselamatan penerbangan.

Jika sebelum ini, keputusan MAS untuk menghentikan hidangan minuman beralkohol hanya tertakluk kepada penerbangan yang kurang daripada tiga jam sahaja dan ternyata tindakan itu dipuji oleh rata-rata masyarakat awam yang merupakan pelanggan MAS.

Naib Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan wajar mencontohi tindakan negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Bahrain dan beberapa buah negara lagi yang lebih tegas di dalam isu yang sama.

“Bahkan negara sekecil Brunei pun lebih berani dengan mengharamkan terus hidangan arak di dalam penerbangan Royal Brunei Airlines,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

DPPM juga, katanya, ingin mengingatkan kerajaan terhadap nasib ribuan kakitangan MAS yang beragama Islam yang terpaksa terlibat dengan perbuatan yang nyata sekali bercanggah dengan tuntutan agama.

Beliau berkata demikian merujuk kepada insidens insiden penerbangan Melbourne – Kuala Lumpur MH128 yang terpaksa berpatah balik semula ke Melbourne malam apabila seorang penumpang didapati cuba menceroboh masuk kokpit pesawat dan turut mendakwa membawa bahan letupan.

DPPM memandang serius insiden yang disebabkan oleh penumpang mabuk seperti yang dinyatakan oleh Ab Aziz Kaprawi tersebut, katanya. – MalaysiaGazette