WASHINGTON- Presiden Donald Trump mengalu-alukan urusniaga berbilion dolar di antara Amerika Syarikat dan Vietnam semasa lawatan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke White House pada Rabu.

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat mengumumkan 13 transaksi dengan Vietnam yang bernilai AS$8 bilion termasuk AS$3 bilion perjanjian yang melibatkan pengeluaran isi kandungan yang boleh memberikan pekerjaan kepada 23,000 rakyat Amerika.

Ini termasuk perniagaan kepada General Electric Co. (GE.N) yang bernilai AS$5.58 bilion bagi janakuasa tenaga, enjin pesawat dan perkhidmatan.

“Vietnam telah membuat satu tempahan yang besar dengan Amerika Syarikat dan kami sangat menghargainya.

“Dengan urusniaga berbilion dolar itu bermakna ia membuka lebih banyak pekerjaan kepada rakyat Amerika Syarikat dan kami akan memberikan peralatan terbaik kepada Vietnam,” kata Trump kepada pemberita di White House.

Kerajaan komunis Vietnam telah beralih daripada seorang musuh semasa Perang Dingin kepada salah seorang rakan kongsi penting Amerika Syarikat di Asia Pasifik yang mana kedua-dua negara berkongsi kebimbangan terhadap peningkatan kuasa China.

Pertemuan Phuc dengan Trump menjadikannya pemimpin Asia Tenggara pertama yang melawat White House di bawah pentadbiran baharu.-MalaysiaGazette