KUALA LUMPUR – Penggabungan RHB Bank Bhd (RHB) dan AMMB Holdings Bhd (AmBank) akan membolehkan entiti baharu itu berada di kedudukan teratas bagi segmen pengurusan aset, insurans am dan pembrokeran ekuiti serta di tempat kedua kumpulan perbankan Islam di Malaysia, kata penganalisis.

Dalam satu kenyataan hari ini, AllianceDBS Research berkata, sekiranya cadangan penggabungan itu menjadi kenyataan, entiti itu juga akan muncul sebagai bank keempat terbesar Malaysia dengan pemilikan asetnya dianggarkan bernilai RM386 bilion serta di kedudukan kesembilan dari segi aset di ASEAN.

Namun, kata firma itu, usaha mendapatkan kelulusan pihak berkepentingan lain akan menjadi risiko dengan aspek harga dan kebenaran sedemikian lazimnya menjadi penentu bagi kebanyakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Mengikut pelan M&A, RHB akan membeli AmBank dan kedua-dua bank berkenaan telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan perbincangan bagi cadangan penggabungan berkenaan.

Berikutan kelulusan tersebut, kedua-dua bank itu telah memeterai perjanjian eksklusif untuk berunding dan memuktamadkan terma dan syarat cadangan penggabungan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

Kedua-dua pihak itu juga mempunyai tempoh sehingga 30 Ogos ini untuk membincangkan perkara berkaitan dan jika perlu, tempoh itu boleh diperbaharui.

Sejajar rancangan pemilikan aset dan liabiliti AMMB, kedua-dua bank itu juga perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan AmBank serta RHB masing-masing memerlukan 75 peratus undian serta 50 peratus dan tambahan satu undian.

AllianceDBS juga berkata ia akan menyemak turun saranannya terhadap AmBank kepada ‘pegang’ (berbanding ‘beli’ sebelum ini) namun dengan sasaran harga (TP) lebih tinggi sebanyak RM5.40 manakala mengekalkan saranan ‘pegang’ untuk RHB dengan TP sebanyak RM4.90.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, HongLeong Investment Bank (HLIB) Research pula menyifatkan penggabungan itu berpotensi memberi sinergi perolehan dari segi pengukuhan perniagaan perbankan komersial dan perbankan pelaburan.

“Bagaimanapun, akan wujud pertindihan dari segi sumber dan pelanggan kerana kedua-duanya bukan peneraju pasaran.

“Entiti baharu itu akan mewujudkan persaingan daripada bertindak menerajui pasaran,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata pergerakan harga saham sejak awal tahun ini juga telah menjadikan nilai RHB mahu pun AMMB menghampiri nilai buku masing-masing.

Dagangan saham-saham AmBank dan RHB disambung semula hari ini dengan kedua-duanya menokok 10 sen sewaktu urus niaga dibuka kepada RM5.49 dan RM5.31, namun aktiviti pengambilan untung secara sederhana menyebabkan saham RHB susut kepada RM5.27 (- 12 sen) manakala AmBank pula turun kepada RM5.15 (- 6 sen). – MalaysiaGazette