Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bercakap kepada media selepas Program Agihan Bubur Lambuk MATRADE di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dengan kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri N43 dalam Parlimen Gua Musang yang dibuat Speaker DUN negeri itu, Datuk Abdullah Ya’kub.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata status kekosongan itu tidak merisaukan BN memandangkan mood Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah semakin dekat.

“Kita yakin ia tidak akan beri kesan tapi yang mustahak adalah BN akan terus bagi khidmat kepada pengundi di kawasan berkenaan.

“Satu dua hari ini ramai yang terkejut, tapi saya yakin perkara ini tidak akan menjejaskan persiapan kita dalam mood pilihan raya,” katanya selepas menyampaikan 400 bubur lambuk kepada kakitangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini.

Kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya Mat Yusoff diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Selangor pada 28 Mei lalu.

Mat Yusoff diisytiharkan muflis sejak 9 November tahun lalu.

Tambah Mustapa, BN Kelantan hormat akan keputusan itu dan parti itu akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pengundi kawasan itu

“DUN Nenggiri ini antara yang terkuat bagi BN, antara DUN yang paling banyak majoriti undi.

” Kita hormat proses undang-undang yang tertera bahawa seseorang yang muflis tidak boleh memegang jawatan ADUN,” katanya lagi.

“(Parlimen) Gua Musang tidak ada sesiapa yang akan biarkan perkara ini. Jadi ini bukan perkara yang merisaukan BN Kelantan. -MalaysiaGazette.