Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memandang serius cadangan MCA supaya jawatan Datuk Bandar di Bandaraya Ipoh dan Bandaraya Johor Bahru diberikan kepada kaum Cina.

Cadangan itu, secara tidak langsung menunjukkan orang Cina terutama MCA semakin berani merobek perkara yang menjadi hak istimewa orang Melayu.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, sudah banyak hak keistimewaan orang Melayu diambil sedikit demi sedikit seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini tinggal 51 peratus, manakala tanah rizab Melayu pula berbaki sekitar 12 peratus.

Jawatan Ketua Setiausaha Kementerian yang dahulunya hanya tiga di tangan bukan Melayu, kini sudah jauh lebih dari itu. Begitu juga jawatan kanan dalam anak syarikat kerajaan (GLC), lebih ramai dipegang bukan Melayu.

“Nampak sangat kaum Cina cuba menekan orang Melayu sehingga ke penjuru dinding, sekali gus mengancam perpaduan dan kestabilan nasional,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam yang menyatakan, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu jawatan Datuk Bandar di bandar yang ramai kaum Cina seperti Ipoh dan Johor Bahru diberikan kepada kaum Cina.

Sirajuddin yang juga bekas Datuk Bandar Ipoh berkata, serangan ke atas umat Islam dan Melayu dalam banyak hal sebelum ini  benar-benar membuatkan orang Melayu marah lalu mengancam perpaduan dan kestabilan nasional yang sekian lama dipupuk oleh kerajaan.

Keadaan itu juga katanya, dilihat semakin mengancam kedudukan kaum Melayu apabila dilatarbelakangkan kepada penguasaan ekonomi dan politik semasa.

“Seperti kemasukan lebih RM150 bilion pelaburan dan jutaan pekerja dari China, kita tidak dapat mengelak daripada menanyakan apakah mainan MCA ini sebagai jarum jarum halus hasil kerjasamanya dengan Parti Komunis China yang diumumkan pada 13 Mei lalu?

“Di atas kebimbangan ini, Perkasa mahu kerajaan benar-benar membela dan menjaga kepentingan Melayu jika mahu undi Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Jangan hanya fikir undi Cina dan lndia sahaja hingga yang dikejar tak dapat dan yang kendong berciciran. Jangan sampai itik kehausan di air, ayam mati dikepuk padi,” katanya sambil menyeru masyarakat Melayu menolak MCA pada PRU akan datang di atas sifatnya yang terlalu tamak itu. – MalaysiaGazette