Datuk Dzulkifli Ahmad
Kuala Lumpur – Bukan saya yang terlalu cepat, tetapi kamu yang terlalu lambat.
Begitulah apa yang diungkapkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad kepada pegawai bawahannya.
Dzulkifli berkata, beliau memberi jawapan tersebut apabila ada sesetengah pegawai yang berpendapat rentaknya terlalu cepat dan mengharapkan beliau memperlahankan langkah.
Dzulkifli menyatakan keazamannya untuk memerangi rasuah secara habisan-habisan walaupun mengakui kadang-kala terasa terbeban dengan apa yang berlaku.
“Saya berasa penat juga, tetapi saya tetap menikmati kerja ini.
“Saya kadang-kala berasa tertekan dan sunyi dalam pejabat selain perlu berdepan kritikan pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang,” katanya kepada China Press.
Dzulkifli berharap orang ramai memberi masa kepada SPRM walaupun beliau faham harapan tinggi yang diletakkan atas agensi perang rasuah tersebut.
“Tidak sampai setahun pun saya berada dalam SPRM, sila berikan saya masa.
“Parti politik juga diberikan masa sehingga lima tahun untuk menunaikan janji yang diberikan,” katanya.
Dalam lawatannya ke ibu pejabat China Press di Kuala Lumpur, Dzulkifli juga menegaskan bahawa semua kaum termasuk Cina membenci amalan rasuah.
“Ini jelas kelihatan dalam kalangan dewan-dewan perniagaan yang giat memberi sokongan kepada SPRM untuk memerangi rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette