Jerusalem's Jubilee

IPOH – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia supaya mengharamkan perhimpunan Jerusalem Jubilee yang dijadual diadakan di Melaka dari 15 hingga 18 Jun ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan penganjuran perhimpunan itu hanya akan melukakan hati umat Islam jika ia dibenarkan berlangsung.

“Bila hati umat Islam tersentuh, terhiris, dilukai …saya sebagai Menteri Dalam Negeri mengarahkan pihak polis mengharamkan perjumpaan itu. Ini adalah mesej yang lantang dan jelas.

“Sesiapa yang menganjurkan Jerusalem Jubilee, permit kamu dibatalkan di bawah arahan rasmi saya selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,” katanya semasa berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

RUJUK: Sekat perhimpunan Jerusalem Jubilee di Melaka- Nasruddin

Pada majlis itu timbalan perdana menteri berbuka puasa dan bersama-sama dengan hadirin menunaikan solat maghrib di Masjid Annur, Batu 8, Ulu Kinta.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang anak yatim.

— BERNAMA