Jerusalem's Jubilee

KUALA LUMPUR – Penganjuran sebuah perhimpunan gereja yang bakal diadakan pada bulan ini dipersoal kerana disifatkan sebagai agenda ‘Kristian Zionis’ dan budaya Yahudi.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang mahu kerajaan bertindak tegas dan menyekat program itu daripada berlangsung.

“Mutakhir ini musuh Islam mula main kasar dan makin berani. Sekarang mereka sasarkan Malaysia. Mereka mahu buat sarang di sini. Ayuh bangkit ummah sebelum terlambat,” tulisnya pada akaun Facebook hari ini.

Perhimpunan tersebut, “Nations of the Golden Gate allignining with Jerusalem’s Jubilee”, diadakan selama empat hari dari 15 hingga 18 Jun di Gereja Calvary Life Assembly (Chinese) di Melaka.

 

Nasrudin Hassan

Kristian Zionis merujuk kepada kelompok dalam kalangan penganut Kristian yang menganggap umat Yahudi ditakdirkan untuk ‘kembali’ ke tanah suci di Baitulmuqaddis sebelum dunia menyambut kedatangan semula Nabi Isa bagi menyelamatkan manusia.

Kepercayaan ini merupakan antara yang terkandung dalam kitab Perjanjian Lama (Old Testament) yang dijadikan rujukan ajaran Yahudi.

Menurut penganjur, perhimpunan itu memilih rantau ASEAN kerana gabungan itu menyambut ulang tahun ke-50 atau Jubli Emas tahun ini.

Baitulmuqaddis yang kini di bawah pemerintahan Israel, merupakan tanah suci tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

Acara di Melaka itu juga menerima kerjasama sebuah kumpulan berpengkalan di Petaling Jaya bernama ‘Elim Freedom’ yang turut mengutamakan peranan Baitul Maqdis, di samping Jerusalem House Of Prayer For All Nations (JHOPFAN).

JHOPFAN merupakan pertubuhan berpengkalan di Israel diasaskan Tom Hess, seorang pastor warga Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Nasrudin menganggap penganjuran acara di Melaka itu satu bentuk provokasi untuk mencabar sensitiviti umat Islam Malaysia.

“Sejarah luka penderitaan ummat Islam angkara kekejaman Israel tidak mungkin boleh dilupakan. Kini, sengaja dicetus provokasi melampau terhadap ummat Islam dengan menganjurkan Jerusalem’s Jubilee di bumi Malaysia.

“Budaya Yahudi ini tidak selayaknya dibenarkan bertapak di atas tanahair kita. Kerajaan perlu tegas bertindak. Jangan cabar sensitiviti umat Islam. Jangan cemarkan tanah melayu ini dengan aktiviti Kristian Zionis ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.