KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda Global Ventures Berhad, Tan Sri Isa Samad dijangka mengadakan sidang akhbar sebentar lagi bagi menjelaskan arahan cuti yang dikeluarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad.
Sumber memberitahu, arahan bercuti yang dikeluarkan itu adalah mengikut prosedur syarikat dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah FGV.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan terhadap tunggakan pembayaran oleh Safitex bagi pembekalan produk Delima Oil Products Sdn. Bhd (DOP).
Difahamkan hutang Safitex sudah mencecah RM50 juta kepada DOP.
Sedangkan FGV mempunyai paras had hutang yang ditetapkan kepada pelanggan-pelanggannya.
Jelas sumber, kes tunggakan itu adalah serius kerana ia boleh menjejaskan prestasi kewangan DOP dan FGV.
MalaysiaGazette difahamkan kelewatan pembayaran itu dikesan oleh PricewaterhouseCoopers dan dimaklumkan kepada FGV.
Lantaràn itu, FGV menubuhkan siasatan dalaman.
Sumber memaklumkan, tindakan yang dilakukan ke atas Zakaria sebenarnya bagi membolehkan syarikat menyiasat kes itu dengan telus.
“Jika Zakaria didapati tidak menyalahkan kedudukannnya maka beliau boleh terus berkhidmat. Dan jika didapati sebaliknya maka sebarang keputusan akan dibuat selepas itu.
“Ia adalah normal prosedur bagi mana-mana syarikat pun.
“Yang menjadi luar biasa apabila perbincangan Tan Sri Isa dan Zakaria didedahkan sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku. Malah dalam kepala surat yang didedahkan itu turut terdapat perkataan perbincangan.
“Ia bukan arahan atau kata putus,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sumber berkata, lembaga pengarah kesal apabila isu itu didedahkan kerana ia menjejaskan kedudukan FGV sebagai sebuah syarikat senarai awam.
Beliau berkata, siasatan terhadap kes itu mungkin mengambil masa sebulan. – MalaysiaGazette.
















