Pemanasan ke atas makanan dalam ketuhar perlu dilakukan dalam keadaan tertutup dan ia juga bermakna alat itu perlu mempunyai penghadang yang baik.
PETALING JAYA – Adakah betul ketuhar gelombang mikro akan meletup apabila digunakan ketika pengguna menerima panggilan telefon?
Walaupun ‘ingatan mesra’ supaya ketuhar gelombang mikro tidak digunakan secara serentak dengan telefon bimbit tersebar melalui media sosial, tetapi ‘ingatan’ yang asal usulnya tidak dikenal pasti itu tidak lain merupakan pesanan yang mengarut.
Pakar kejuruteraan, Profesor Tharek Abd. Rahman dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ketuhar gelombang mikro mempunyai frekuensi yang berbeza dengan telefon sekaligus tidak akan menghasilkan perubahan dan implikasi.
“Ia tidak akan berlaku perubahan atau letupan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurutnya, pemanasan ke atas makanan dalam ketuhar perlu dilakukan dalam keadaan tertutup dan ia juga bermakna alat itu perlu mempunyai penghadang yang baik.
Keadaan itu mengelak ketuhar daripada ‘gangguan’ dan penggunaan telefon tidak akan dapat mengganggu ketuhar gelombang mikro.
Dalam satu lagi ‘ingatan mesra’ yang disahkan sebagai tidak benar adalah berkenaan ‘ingatan’ mengenai kumpulan sembang WhatsApp Movies Junction yang dikatakan dikendalikan kumpulan pengganas IS.
Menurut pesanan yang tersebar, IS menggunakan kumpulan Movies Junction untuk merekrut ahli dan mereka yang sudah menyertai kumpulan WhatsApp itu tidak akan dapat meninggalkan kumpulan tersebut,
Penolong Pengarah Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi China Press bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan memberitahu bahawa orang ramai boleh meninggal kumpulan itu secara sesuka hati. – MalaysiaGazette