Muhyiddin Yassin UKSB Home Minister
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemelut pertikaian berhubung isu calon siapa yang akan menjadi perdana menteri menyebabkan imej gabungan pembangkang kini agak buruk.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu membidas parti pembangkang yang sibuk membincangkan isu tersebut secara terbuka sehingga ia menyebabkan rakyat terkeliru dan salah faham berhubung siapa yang layak untuk memegang jawatan berkenaan.

“Pada pandangan peribadi saya, lebih baik perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

“Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya hari ini.

Muhyiddin mencadangkan supaya pembangkang duduk berbincang secara tertutup dan tidak membocorkan rahsia mengenai isu calon perdana menteri kepada umum.

“Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita,” katanya.

Isu calon perdana menteri diperkatakan di kalangan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Ia ekoran nama Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri sekali lagi, jika PH merancang sedemikian.

Bagaimanapun, pemimpin dalam kalangan pakatan pembangkang itu mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat.

Malah, bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, cadangan itu hanya mungkin dicapai jika mendapat persetujuan bersama di kalangan parti pembangkang. – MalaysiaGazette