Keadaan kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan.

BATU PAHAT – Tiga lelaki yang baru selesai menghadiri majlis makan malam maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas kerana hilang kawalan di Kilometer 111 Jalan Johor Bahru-Melaka di Senggarang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pada 4 pagi itu, pemandu kereta jenis Hyundai Accent berusia dalam lingkungan 40-an yang terselamat dilaporkan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Tiga mangsa yang maut di tempat kejadian ialah Cheng Boon Seng, 49, dan Tan Eng Keng, 49, dan Cheah Chen Kon, 45.

Difahamkan, polis percaya mengantuk dan mabuk adalah punca pemandu kereta gagal mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkan ia terbabas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kenderaan terbabit menghala ke arah Rengit semasa kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati, keret tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok di tempat kejadian sehingga menyebabkan tiga maut dan seorang cedera,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.