Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dan bersalaman dengan Veteran UMNO pada Majlis Iftar Ramadan bersama Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata negara kini dalam fasa bersiap sedia bagi menghadapi situasi risiko geopolitik baharu.

Langkah itu diambil memandang kepada perkembangan semasa kini antaranya krisis negara teluk, ancaman balistik daripada Korea Utara yang disifatkan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Kita sedar ada risiko baru iaitu risiko geopolitikal, ini berikutan krisis negara teluk, ancaman balistik korea utara dan keputusan parlimen United Kingdom dan Brexit.

“Peningkatan risiko ini satu fenomena baru kita pantau dan langkah keputusan tepat.

“Ada cabaran yang kita akan hadapi sebagai sebuah negara antaranya ancaman keselamatan yang merupakan ancaman besar, ekonomi dunia nampak berkembang lebih positif 5.6 peratus suku pertama tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini petang tadi.

 

Buat masa ini, Malaysia hanya memantau dari jauh mengenai perkembangan krisis diplomatik di antara Qatar dengan empat buah negara Arab lain.

Empat buah negara tersebut adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir.

Kesemua mereka mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dan menutup pintu-pintu sempadan dengan Qatar.

Ini kerana berdasarkan hubungan dagangan antarabangsa, Qatar merupakan rakan dagang ketiga terbesar negara di Asia Barat dengan keseluruhan perdagangan meningkat tiga kali ganda sejak 10 tahun lalu kepada AS $42.38 juta pada 2015 berbanding AS $26.5 juta pada 2005. -MalaysiaGazette.