Pelanggaran dua buat kereta dikilometer 42 Jalan Segamat-Muar meragut dua nyawa. foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

TANGKAK – Dua lelaki maut apabila kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan kereta jenis Honda Jazz di Kilometer 42 Jalan Muar-Segamat di sini kira-kira pada 9 pagi ini.

Dalam kejadian itu, empat orang termasuk dua wanita mengalami kecederaan masing-masing merupakan dua orang penumpang kereta Proton Wira (seorang lelaki dan wanita) dan dua orang dipercayai pasangan suami isteri yang menaiki Honda Jazz.

Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki, Philip Michael Aronika Nathen, 31, dan penumpang hadapan yang dipercayai ada pertalian saudara, Eric Michael Arokiasamy Nathen, 24.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitenden Mohad Idris Samsuri berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dari arah Segamat menghala ke Sungai Mati tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan berlaku pelanggaran dengan kereta Honda Jazz.

Keadaan kereta Proton yang remuk akibat bertembung dengan Honda Jazz. foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan dua daripada mangsa cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette.