Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar (kanan) diiringi Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kiri) bercakap pada sidang media ringkas selepas Majlis Berbuka Puasa PNB Bersama Media 2017 di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hanya mempunyai pendedahan yang kecil terhadap kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

Justeru, Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar menasihatkan para pelabur tidak perlu risau mengenai nasib pelaburan mereka bersama PNB kerana daripada RM266 bilion dana yang diuruskan organisasi itu, pendedahan kepada FGV adalah kurang RM1 bilion sahaja.

“FGV bukan syarikat teras kami jadi boleh dikatakan tiada pendedahan langsung terhadap kemelut yang melanda syarikat tersebut.

“Syarikat teras bermakna PNB memiliki 10 peratus saham atau lebih RM1 bilion nilai pelaburan di dalam syarikat tersebut dan FGV tidak termasuk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa PNB bersama media baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada PNB berhasrat untuk mengikut jejak langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menjual semua pegangannya di dalam FGV, Wahid mengulangi pendirian yang sama bahawa pendedahan pengurus dana itu terlalu kecil di dalam FGV.

“Kami mengamalkan pelaburan aktif yang mana setiap keputusan pelaburan adalah bergantung kepada situasi semasa,” katanya yang enggan untuk menyatakan jumlah sebenar pegangan PNB di dalam FGV ketika ini.

Tambah Wahid, PNB akan sentiasa memastikan pelaburan yang dilakukannya bakal memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pemegang unitnya.

Semasa mula disenaraikan di Bursa Malaysia tiga tahun lalu, PNB, KWSP dan Tabung Haji merupakan pelabur utama (cornerstones investors) di dalam FGV dengan kombinasi pelaburan adalah kira-kira RM2.5 bilion.

Bagaimanapun, pada akhir Disember tahun lalu, KWSP bertindak menjual kesemua baki sahamnya di dalam FGV selepas bertahun-tahun mengurangkan pegangan secara beransur-ansur dengan alasan prestasi rendah dan kelemahan tadbir urus syarikat perladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu.

Saham syarikat itu disenaraikan pada harga RM4.55 seunit pada 2012 namun terus menunjukkan prestasi buruk apabila ditutup pada RM1.66, Jumaat lalu.

-MalaysiaGazette