Prof Dr. Ahmad Fauzi Ismail menunjukkan prototaip alat haemodialiser yang dihasilkan sekumpulan penyelidik UTM di sini.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan alat haemodialiser berkos rendah yang mengandungi membran berkualiti tinggi yang pertama buatan Malaysia dan dijangka memasuki pasaran dua tahun lagi.

Ketua Projek, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, ciri-ciri khas lain produk yang dihasilkan mereka itu juga mampu menyingkirkan jumlah toksin uremik daripada darah pesakit termasuk sebahagian molekul sederhana berat yang degil.

Tambahnya, buat masa ini, hospital dan pusat haemodialisis di Malaysia menggunakan produk yang diimport dari negara seperti Jepun dan Jerman.

“Sebagai ahli akademik, ia menjadi tanggungjawab kami menghasilkan sebuah haemodialiser berkos rendah yang mempunyai membran berkualiti tinggi. Jadi, kami hasilkan alat pertama seumpamanya buatan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, alat haemodialiser yang dibangunkan mereka lebih produktif kerana mempunyai kadar penyucian darah lebih pantas berbanding produk import yang digunakan iaitu daripada 14 liter seminit daripada lapan liter seminit.

Sebagai langkah pengkomersialan produk tersebut, katanya, pihak kami menerusi Advanced Technology Research Centre (Amtec) sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Foresight Industries Sdn. Bhd. pada Mac 2016.

Menurutnya, jika segalanya berjalan lancar produk itu boleh dijual dengan harga lebih murah daripada yang diimport. – MalaysiaGazette.