Akbar Al Baker

DOHA – Qatar Airways menggesa badan penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan boikot negera-negara Teluk terhadapnya melanggar Konvensyen 1944.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir mengumumkan menggantung hubungan dengan Qatar kerana mendakwa negara itu menyokong pengganas.

Tindakan itu menyebabkan semua penerbangan dari dan ke Doha telah ditutup termasuk operasi syarikat penerbangan di negara-negara berkenaan.

Empat negara juga mengarahkan rakyat Qatar keluar dari negara mereka dalam masa dua minggu.

Rakyat Qatar juga dihalang singgah di lapangan terbang mereka.

Dalam temu bual televisyen pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akbar Al Baker mendesak PBB supaya mengisytiharkan tindakan empat negara itu sebagai haram dan menggesa cawangan penerbangan awam dunia itu campur tangan.

Baker berkata, langkah itu melanggar Konvensyen 1944 mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa, yang ditugaskan untuk menyelia dan mengawal selia penerbangan antarabangsa.

Arab Saudi tidak menandatangani konvensyen itu.

Dalam temu bual dengan Al-Jazeera, Baker turut membidas Presiden Donald Trump, berkata Amerika Syarikat telah lama menjadi rakan sekutu dengan Qatar.

“Kami menjangka rakan-rakan akan berdiri bersama kami dalam menghadapi sekatan yang tidak adil, menyalahi undang-undang.

“Saya mahu rakyat Amerika menyedari bahawa mereka cuba untuk menakutkan sebuah negara kecil yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat,” kata Baker.

Tegas Baker: “Saya fikir kenyataan Trump terhadap negara saya adalah salah, beliau kurang maklumat, dan saya sekali lagi boleh mengulangi bahawa saya sangat kecewa dengan beliau.”

Pada Ahad lalu Trump mendakwa Qatar membayar pengganas dan meninggalkan beban itu kepada Arab Saudi dan sekutu-sekutunya – menimbulkan krisis paling teruk di Teluk. – MalaysiaGazette