Johari Ghani menurunkan tandatangan pada plak Program Aspirasi Seni Abad Ke-21 selepas selesai Majlis Pelancaran Khazanah Nasional Sustainable & Responsible Investment (SRI) Sukuk di Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan akan mengkaji mekanisme bagi menggalakkan individu dan institusi melanggan tranche kedua terbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) oleh Khazanah Nasional Berhad.

Menteri Keduanya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mekanisme itu akan dicadangkan supaya ia dapat dibentangkan pada Bajet 2018.

“Kita akan duduk berbincang dengan Khazanah dan cari mekanisme terbaik termasuk mungkin menawarkan pengecualian cukai dan sebagainya.

“Kalau ekonomi dalam keadaan baik, kita boleh juga menawarkan geran,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran sukuk SRI di Sekolah Desa Pandan di sini malam tadi.

Tranche kedua sukuk SRI itu berjumlah RM100 juta.

Khazanah merupakan entiti korporat pertama yang telah menerbitkan sukuk SRI pada tahun 2015 berjumlah RM100 juta bagi membiayai Sekolah-Sekolah Amanah.

Johari berkata, pendekatan itu membolehkan sukuk itu lebih cepat dilanggan dan dengan itu lebih cepat banyak sekolah-sekolah dapat dibantu.

“Saya kira tidak sukar, kita mempunyai kira-kira 1.26 juta perusahaan kecil dan sederhana. Jika setiap syarikat melanggan dalam satu jumlah tertentu, sumbangan seumpama itu lebih bermakna.

“Ini belum lagi semua syarikat-syarikat senaraian awam dan bank-bank. Kalau setiap bank melanggan 100 juta atau 300 juta, sekali gus dapat menyokong dan mempromosi sukuk SRI,” tambah beliau.

Beliau menambah, sukuk SRI ini bukan sahaja baik untuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi menjamin faedah jangka panjang melalui mewujudkan sumber tenaga yang baik untuk negara.

Katanya, sebagai sebuah entiti konglomerat di Malaysia, insiatif yang dilakukan oleh Khazanah itu cukup baik dan pihak lain boleh mencontohinya.

“Kalau syarikat kecil tidak perlu melanggan pada saiz besar, RM100 juta atau RM200 juta untuk sebuah syarikat tetapi cukup sekadar RM50 juta, RM30 juta,” ujar beliau.

Jelasnya, untuk meningkatkan penerbitan sukuk SRI, negara perlu persekitaran kondusif dan insentif sewajarnya.

Beliau turut mencadangkan satu kajian dilakukan bagi mempertimbangkan agar satu geran atau peruntukan khusus untuk menampung kos tambahan yang mungkin dihadapi oleh penerbit sukuk SRI berbanding kos bagi sukuk biasa.

Sebagai contoh, sekiranya penerbit terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM50,000 untuk sukuk SRI, kos tersebut akan ditanggung dengan memanfaatkan geran atau peruntukan tersebut. – MalaysiaGazette