Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah (kiri) bersalaman bersama anak-anak yatim Rumah Bakti Al Kausar ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat di MATRADE, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Pengusaha GrabCar Malaysia digesa supaya menguatkuasa butang panik untuk keselamatan penumpang selewat-lewatnya 31 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu antara isu yang telah dibincangkan dalam mesyuarat khas bersama Pengendali Perkhidmatan Grab Malaysia (GrabCar) hari ini.

“Dalam mesyuarat hari ini turut ditanya mengenai kaedah yang digunapakai untuk melantik pemandu GrabCar dan mengenai langkah pencegahan insiden buruk kepada penumpang.

“Mereka menjelaskan kepada kami mengenai kaedah pengambilan pemandunya serta tindakan yang telah diambil terhadap seorang pemandunya berikutan insiden terbaharu melibatkan penumpang.

“Dalam hal ini mereka menyatakan komitmen mereka dan kesediaanya untuk melaksanakan butang panik penumpang dalam aplikasi berkenaan, dimana kita meminta mereka supaya ia dilaksanakan seberapa segera iaitu sebelum 31 Julai ini,” katanya ketika ditemui di Majlis berbuka Puasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan SPAD berhubung kejadian seorang penumpang GrabCar dirogol oleh pemandu semasa pulang ke rumah.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pengusaha Grab Car menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPAD bagi menangani sebarang kejadian tidak diingini terhadap penumpang di masa akan datang.

Katanya, butang panik penumpang itu dibangunkan menerusi aplikasi turut mempunyai Sistem Kedudukan Global (GPS) yang akan dihubungkan dengan polis diraja Malaysia untuk memastikan pemandu dipantau.

Menyentuh mengenai penyelarasan undang-undang perkhidmatan teksi dan kereta Uber dan Grabcar, beliau berkata, bil baharu itu akan melalui bacaan kali kedua pada sidang Parlimen akan datang.

Turut hadir ke majlis berbuka puasa ialah Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah dan para pegawai dan kakitangan SPAD beserta pengamal media.

Pada majlis sama, seramai 30 anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf dari Rumah Kebajikan Bakti Al-Kausar, Bandar baru Bangi turut diraikan dengan sumbangan raya dan majlis berbuka puasa.- MalaysiaGazette