Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (tiga kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly (tiga kanan) meletakkan tapak tangan sebagai gimik Majlis Pelancaran Op Selamat 11 Tahun 2017 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara Telekom Malaysia (TM), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai masalah untuk mengheret pesalah jalan raya terus ke mahkamah tanpa mengenakan kompaun yang dilihat tidak ditakuti pemandu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya bersedia untuk melaksanakannya jika kerajaan mahu meminda undang-undang sebagai langkah memperketatkan hukuman pesalah lalu lintas di negara ini.

“Kita ada proses undang-undang yang perlu dipatuhi, tetapi kalau kerajaan hendak meminda undang-undang terus mendakwa pesalah di mahkamah tanpa kompaun kita alu-alukan dan bersedia untuk menguatkuasakannya segera,” katanya pada sidang media di ibu negara.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya kenapa polis terus mengambil tindakan mengheret pesalah lalu lintas ke mahkamah tanpa mengenakan kompaun.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly melancarkan Op Selamat ke-11 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Menara TM, Jalan Pantai Baharu.

Kata beliau, kempen itu bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya dan kesedaran terhadap pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan berhati-hati sepanjang musim perayaan.

Khalid berkata, sangat menyedihkan apabila banyak kemalangan di jalan raya dilaporkan pada musim perayaan tetapi yakin kehadiran sistem Kejara dapat, mendisiplinkan pemandu supaya sedar pemanduan terhad mereka tanpa mencetuskan risiko kemalangan.

“Sebab itu kita pernah juga mencadangkan kadar kompaun dinaikkan lagi, supaya pemandu takut, namun Kejara boleh memudahkan usaha kita.

“Daripada analisis polis mendapati sebanyak 7,000 kematian setahun dicatatkan di Malaysia dan 95 peratus ada berpunca akibat kecuaian pemandu,” ujarnya lagi.

Jelasnya, Op Selamat tahun lalu menyaksikan jumlah keseluruhan kemalangan meningkat sebanyak 524 kes (2.4 peratus) berbanding tahun sebelumnya tetapi jumlah kemalangan maut menurun kepada 39 kes dan jumlah kematian pula menurun kepada 31 kes.

Justeru kata beliau, kadar kematian dalam kalangan pengguna motosikal masih tinggi apabila dalam Op Selamat 2015 sebanyak 200 kematian dicatatkan tetapi ia menurun kepada 186 kematian pada Op Selamat tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Khalid gembira kerana polis berjaya menangani kejadian pecah rumah pada musim perayaan Aidilfitri melibatkan mereka yang memaklumkan rumah mereka dikosongkan ketika balik kampung berbanding mereka yang tidak memaklumkan polis.

“Polis berjaya menghalang rumah mereka yang pulang ke kampung dipecah masuk semasa perayaan kerana kita dapat merancang rondaan dan pemantauan secara rapi di kawasan perumahan yang didaftarkan.

“Tetapi perkhidmatan ini masih tidak mendapat galakan kerana setakat ini hanya 100,000 sahaja yang melaporkan polis mengosongkan rumah semasa perayaan pada tahun 2016 iaitu peningkatan 3 peratus berbanding 2015,” ujarnya.

Katanya bagi tujuan itu, pihaknya mempelbagaikan medium seperti kemudahan percuma ‘Saveme999’ yang baru dilancarkan dengan kerjasama TM rakyat medaftarkan maklumat mereka supaya terus berada dalam kawalan polis dari aspek keselamatan

“Kita ada Volunteer Smartphone Patrol (VSP) tetapi hanya 700,000 sahaja mendaftarkannya setakat ini sedangkan kita mensasarkan sekitar 5 juta orang.

“Sedih apabila mendengar menjadi mangsa gangguan pemandu Uber dan sebagainya, tapi mereka tidak memakai aplikasi VSP yang boleh melindungi mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette