Tan Sri Muhyiddin Yassin
Petaling Jaya – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dijangka memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan itu.
Sinchew Daily melaporkan, Pakatan Harapan pada Jumaat lalu telah mengenal pasti bahawa Wan Azizah akan memegang jawatan pengerusi.
Pakatan Harapan sebelum ini tidak dapat mendaftarkan diri dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana parti-parti pembangkang gagal mencapai kata sepakat berhubung jawatan pengerusi sehingga wujud tiga senarai pemimpin yang berlainan.
Pakatan Harapan dijangka akan mengadakan satu lagi mesyuarat pada minggu ini untuk memuktamadkan senarai pemimpin sebelum menyerahkannya kepada ROS.
Jika tiada perkara luar jangkaan, Wan Azizah dijangka akan menjadi pengerusi manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi penasihat secara bersama.
Naib pengerusi pula dijangka dipegang oleh Muhyiddin; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Walaupun senarai itu direstui Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi Pribumi yang tidak setuju dengannya telah mencadangkan senarai alternatif.
Parti itu lebih senang jika kepimpinan Pakatan Harapan diterajui oleh Dr. Mahathir dan Muhyiddin. Parti itu justeru dilaporkan mencadang Muhyiddin sebagai pengerusi manakala Anwar sebagai penasihat dan Dr. Mahathir sebagai pengerusi kehormat.
Malangnya, cadangan Pribumi tidak mendapat lampu hijau daripada Anwar yang menyatakan mahu mengekalkan senarai asal yakni Wan Azizah sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.