Fadillah Yusof

PETALING JAYA – Pertikaian berhubung pelaksanaan cukai pelancongan antara pemimpin Barisan Nasional telahpun selesai, kata Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.

Menteri Kerja Raya itu berkata, isu berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Kabinet semalam dan ketua menteri Sarawak bersama timbalannya sudah menemui perdana menteri bagi mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, apa yang berlaku bukanlah satu isu sebaliknya, ia hanya satu perbezaan pendapat dan pendekatan.

“Semalam YAB Ketua Menteri Sarawak dah berjumpa dengan YAB Perdana Menteri jadi kita tunggu kenyataan YAB Ketua Menteri Sarawak.

“Saya tidak minat untuk komen mengenai isu itu kerana apa-apa yang berlaku di dalam mesyuarat Kabinet, saya tidak akan dedahkan kepada umum.” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan upacara pecah tanah bagi projek pembinaan jejantas serta naiktaraf sistem perparitan Lebuhraya Persekutuan di sini hari ini .

Dalam pada itu Fadillah berkata, hubungannya dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz masih kekal.

Terdahulu, Sarawak mengambil keputusan untuk keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia selepas  Nazri menempelak Menteri Pelancongan, Kesenian, Budaya dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri baru `setahun jagung’.

Kenyataan Nazri itu mendapat reaksi beberapa menteri di bumi kenyalang itu dan juga di Sabah termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. – MalayasiaGazette.