Shaiful Haziziy

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sedang mengalami krisis keyakinan dan kepimpinan yang kronik apabila kepimpinan DAP dan PKR menolak pencalonan PPBM untuk menjadikan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pada PRU14.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sayap UMNO itu sudah menjangkakan penolakan itu akan dibuat beberapa parti dalam gabungan PH kerana tidak yakin dengan kemampunan bekas perdana menteri itu.

“Pemuda Kedah juga hairan dan terkejut sama sekali apabila kepimpinan pembangkang sanggup mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Hakikatnya PPBM masih lagi mentah tetapi mempunyai “nafsu politik” yg besar mahu menjadi pemain utama politik adu domba pembangkang. Pemuda UMNO Kedah juga percaya rakyat tidak akan sama sekali terpengaruh dgn politik “syurga” PPBM dan parti pembangkang,” jelas Shaiful.

Pemuda UMNO pada dasarnya tidak yakin dengan keupayaan Mahathir untuk menjadi Pengerusi PH yang bakal dibentuk, malah juga untuk mentadbir negara sekiranya PH berjaya menakluki Putrajaya pada PRU14 kelak.

Justeru katanya, kemunculan PPBM dalam gabungan pembangkang hanya memburukkan keadaan dan tidak menjadikan pembangkang semakin kuat.

“Tanggapan bahawa Mahathir adalah “senjata politik” baru adalah tidak betul malahan beliau hanya menjadi “liabiliti” baru politik kepada pembangkang.

“Kenyataan yang tidak konsisten dan integriti kekayaan luar biasa keluarga boleh menjadi barah baru didalam pakatan pembangkang,” ulasnya lagi.

Terbaharu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mengumumkan menarik diri sebagai calon perdana menteri PH ketika mereka bersiap sedia untuk menghadapi PRU14.

Agak mengejutkan, apabila perbentukan PKR dan gabungan pembangkang sebelum ini bermati-matian untuk mencalonkan Anwar selaku calon perdana menteri. -MalaysiaGazette.