Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Pas menyambut baik keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seperti mana yang dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menjalankan siasatan berhubung skandal mata wang Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, RCI itu dapat menjalankan siasatan secara terperinci urus niaga mata tersebut yang melibatkan kerugian berbilion ringgit.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan wajar mewujudkan apa sahaja jawatankuasa yang boleh membuat penyiasatan terperinci secara adil sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab.

“Saya fikir rakyat memang mahu melihat perkara ini disiasat dan diselesaikan secara adil.

“Oleh sebab itu kita mengalu-alukan keputusan mewujudkan RCI ini bagi membolehkan satu siasatan adil dilakukan,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam mengeluarkan kenyataan bahawa Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor Pasukan Petugas Khas (PPK) bahawa terdapat keperluan RCI diwujudkan bagi menyiasat krisis yang melanda BNM lebih 25 tahun lalu.

PPK yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dialami BNM mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.- MalaysiaGazette