Datuk Seri S. Subramaniam
PUTRAJAYA – Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mahu pemimpin pembangkang supaya terlebih dahulu memahami dan mempertingkatkan pengetahuan dalam isu kerakyatan masyarakat India di negara ini.
Menteri Kesihatan itu membidas Ahli Parlimen DAP-Ipoh Barat M. Kulasegaran yang terus mengungkitkan isu kerakyatan dalam kalangan masyarakat India kononnya lebih 300,000 orang India bukan warganegara Malaysia.
“Dia hanya membuat dakwaan sesuka hati, mungkin juga ia di luar pemahaman pemimpin itu.
“Kalau boleh saya meminta beliau (Kulasegaran) supaya meningkatkan pemahaman beliau dalam  bidang ini.
“Dia menuduh kononnya MIC hanya berani lantang bersuara dengan pembangkang tetapi tunduk kepada UMNO.
“Tetapi apa bezanya di sana, pembangkang juga hanya berani sesama mereka tetapi tunduk kepada parti lain dalam pakatan mereka,” bidas beliau ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2017 di Seri Perdana hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Kulasegaran mengenai soal kerakyatan masyarakat India oleh sebuah portal semalam.
Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat turut menjelaskan  Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib sejak 2010 mengamalkan konsep konsensus yang menjadi tulang belakang menegakkan perpaduan dan kestabilan politik negara.
“Ia tidak bererti kita bersetuju atau sokong semua perkara, tetapi kita mempunyai cara yang berkesan untuk berbincang  dan mencari jalan penyelesaian  terbaik dan  diterima semua komponen untuk kesejahteraan rakyat jelata,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Mohd Yazid Ramli juga menafikan dakwaan pihak pembangkang terdapat 300,000 masyarakat India di negara ini dibelenggu masalah dokumentasi kerakyatan dan dikaitkan dengan bilangan kecil dalam program Mydaftar yang pernah dilaksanakan  pada tahun 2012. – MalaysiaGazette