Peniaga Sampul Duit Raya, Nurul Farhana Abdul Syukur menujukkan sampul raya bergambar kartun yang dijual di gerainya di Bazar Ramadhan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Siapa sangka dengan hanya menjual sampul duit raya, anda mampu menjana pendapatan sehingga RM1,200 sehari.

Begitulah rutin harian Nurul Farhana Abdul Syukur, 31, setiap kali menjelangnya Ramadan dan Syawal yang menjual sampul duit raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR).

Sudah 10 tahun berniaga sampul duit raya ini, ia nyata memberikan pulangan lumayan buat dia sekeluarga.

Ujarnya, pelanggannya akan mencari kelainan dan corak sendiri dalam menonjolkan sampul surat mereka secara eksklusif.

Malah ada pelanggan yang sanggup menempah corak mereka sendiri kerana ini menunjukkan kelainan tatkala menghulurkan pemberian duit raya kepada sanak-saudara mahupun pengunjung ke rumah mereka.

“Kami ada perkhidmatan rekaan eksklusif. Pelanggan ada yang mahu rekaan ekslusif untuk beri kepada orang lain. Jadi itu antara daya tarikan kepada perniagaan sampul duit raya.

“Kami jual rekaan eksklusif ini cuma RM6 sepaket. Bergantung kepada corak dan saiz, kalau yang biasa ini kami jual cuma RM3 sahaja sepaket,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Peniaga Sampul Duit Raya, Nurul Farhana Abdul Syukur, 31 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

Antara rekaan yang paling digemari pelanggan adalah corak sampul duit raya timbul eksklusif dan karakter karton yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Boleh dikatakan, sampul duit raya terutamanya karakter karton yang sering kali ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak setiap kali tibanya lebaran.

Malah ia mampu menjadi tanda ingatan dan perantara paling bermakna setiap kali menjelangnya Aidilfitri.

Tambah Nurul Farhana lagi, biarpun kini muncul pelbagai cara dalam memberikan duit hari raya, namun budaya memberikan duit raya menggunakan sampul harus dikekalkan.

“Penjual sampul duit raya amat menggalakkan di sini. Walaupun ekonomi tidak menentu tapi hasil jualan kami tetap bagus. Sehari saya boleh jual sampai 200 paket.

“Kadang-kadang ada yang datang beli satu paket, ada yang beli sampai 10 paket sehari,” katanya. – MalaysiaGazette.