Sebastian Vettel dikatakan berdepan risiko penggantungan menyertai GP British jika dikenakan penalti lagi pada GP Austria minggu depan. the Sun

LONDON –  Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berdepan risiko digantung daripada berlumba pada Grand Prix (GP) British sekiranya beliau mengutip penalti sebanyak tiga mata pada GP Austria.

Seperti peraturan lesen jalan raya normal, para pemandu F1 diberi mata penalti apabila mereka melakukan kesalahan dan sekiranya ia mencecah 12 mata, pelumba akan digantung satu perlumbaan.

Pemandu tersebut berhadapan risiko itu berikutan insiden perlanggaran jentera Ferrari dan Mercedez yang dipandu Lewis Hamilton pada Ahad lalu di Azerbaijan.

Pada perlumbaan itu Hamilton menuduh Vettel sengaja melanggar kenderaannya dari belakang, sekaligus menjejaskan peluang menjuarai perlumbaan itu yang telah dimenangi pasukan Red Bull Racing.

Insiden itu mencetuskan perang mulut antara Vettel dan Hamilton walaupun pelumba Ferrari itu mengaku ia berlaku secara tidak sengaja.

Namun Hamilton terus mengamuk dan mengecam Vettel sebagai pelumba yang sangat memalukan walaupun bergelar juara dunia sebanyak empat kali.

Hamilton juga mencabar Vettel di luar litar dengan bersemuka walaupun pemadu Ferrari itu dikenakan penalti selama 10 saat semasa perlumbaan.

Dalam perlumbaan penuh dramatik itu, Vettel menamatkan perlumbaan di tangga keempat manakala Hamilton di belakang Vettel.

Insiden perlanggaran itu juga telah menghukum Vettel dengan pemotongan tiga mata penalti di Baku, Azerbaijan.

Pelumba warga Jerman itu kini bakal berdepan siasatan disiplin selama tiga hari menjelang GP Austria minggu depan.

Persekutuan Formula Satu Antarabangsa (FIA) pula tidak memaklumkan sama ada mereka akan melihat semula insiden itu dengan Hamilton.

Bagaimanapun penalti lanjutan selain hentian 10 saat di atas litar perlumbaan pada Ahad lalu dan pemotongan tiga mata di Baku dijangka tidak berlaku.

Ini bermakna para pengurus F1 akan menyemak peraturan FIA untuk musim hadapan selepas menyemak rakaman televisyen seperti yang dilaksanakan dunia bola sepak sebagai memperketatkan lagi peraturan dalam hukuman.

Sekiranya Vettel berlumba di litar Silverstone, dia dijangka menerima reaksi agak tegang daripada penyokong Britain.

Vettel tidak lagi terasing daripada diboo penyokong F1 yang mana dia pernah dicemuh beberapa kali pada 2013 selepas melanggar arahan pasukan Red Bull dan menewaskan rakan sepasukannya Mark Webber di Litar F1 Sepang, Malaysia. – MalaysiaGazette