nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim tidak perlu mengulas tentang tindakan oleh juruterbang AirAsia X yang mengalami masalah teknikal Ahad lalu jika tidak tahu keadaan sebenar.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) yang mempertahankan tindakan juruterbang pesawat Airbus D7237 berkata, hanya juruterbang sahaja yang tahu keadaan pesawat berkenaan pada waktu kejadian.

“Itu adalah saat-saat yang paling gentar dan kritikal apabila berlakunya masalah kepada enjin pesawat.

“Juruterbang individu pertama yang memahami keadaan pesawat itu jika pesawat berada dalam situasi cemas. Apa-apa pun boleh berlaku. Kalau kita lihat gambar dan video enjin tersebut, ia adalah serius.

“Mereka yang tidak berada di dalam kapal tersebut mungkin senanglah hendak komen sedangan dalam situasi cemas, walaupun dalam pesawat kecil, kru pesawat harus berikhtiar dan berdoa untuk memohon perlindungan dari Tuhan.

“Tidak ada sesiapa yang boleh menentukan keselamatan nyawa dalam penerbangan itu kecuali Tuhan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas komen Zaid menerusi akaun Twitternya yang menyatakan beliau lebih suka juruterbang tidak memberitahunya ketika berada di ambang maut.

Beliau berkata: “Jika AirAsia berminat kepada doa, ambil imam dan paderi sebenar,”.

Dalam kejadian Ahad lalu, Airbus, A330 mengalami masalah teknikal selepas 90 minit berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur. Salah seorang penumpang menggambarkan pesawat itu bergegar seperti mesin basuh.

Malah, kata NUFAM tindakan juruterbang meminta penumpang berdoa tidak melanggar mana-mana kod etika atau sikap profesional kru pesawat.

Sebaliknya, NUFAM memuji sikap juruterbang tersebut yang berjaya mengemudi keadaan dalam situasi genting itu.

“Harap mana-mana pihak yang tidak memahami mengenai kaedah pesawat atau penerbangan janganlah mudah mengutuk tindak-tanduk kru pesawat yang sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa penumpang,” ujar NUFAM. – MalaysiaGazette