KUALA LUMPUR – Berita karut!

Begitu kenyataan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung satu laporan daripada portal The Malaysian Insight, dua hari lalu.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Samsuri berkata laporan “Hadi lucutkan jawatan, Tuan Ibrahim lantik kembali, adakah Pas dalam masalah?” yang dikeluarkan portal itu berniat jahat dan penuh dengan pembohongan.

“Agaknya kenapakah kita senantiasa mudah ditipu dengan berita jahat – serong penuh pembohongan dari portal ini?

“Ianya boleh menjadi mudah sahaja selepas ini sekiranya kita anggap bahawa apa sahaja yang dilaporkan oleh portal ini kita mesti anggap semuanya berita karut kecuali mereka membawa bukti yang jelas dalam maklumatnya.

“Jika tidak, kita akan diperbodohkan oleh portal sebegini sampai bila-bila kerana etika adalah perkara terakhir dalam senarai mereka,” soal Ahmad Samsuri hari ini.

Dalam laporan berkenaan, Malaysian Insight menulis mengenai pelantikan bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Pas yang diumumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim ketika itu memangku jawatan presiden Pas tatkala Hadi bercuti sakit selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Mustafa dilantik selepas tidak memegang sebarang jawatan dan digugurkan dari jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas oleh mesyuarat yang dipengerusikan Presiden parti, Abdul Hadi Awang 6 Mei lalu.

Selain Mustafa, turut dilantik sebagai ahli Lembaga Penasihat itu adalah tokoh veteran, Dr. Sanusi Daeng Mariok (bekas naib presiden), Abdul Halim Abdul Rahman (bekas bendahari Pas Pusat dan timbalan menteri besar Kelantan) dan Subky Latif (penulis veteran PAS). -MalaysiaGazette.