Kedai serbanika 7 Eleven

JAKARTA – Indonesia kini tidak lagi mempunyai kedai runcit franchais 24 jam 7-Eleven apabila kesemua kedai serbaneka itu akan ditutup mulai esok.

Penutupan kesemua 141 buah kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia,  PT Modern International dalam satu kenyatannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

Media-media tempatan memetik Direktur PT Modern Internasional, Chandra Wijaya, sebagai berkata pemberhentian operasi kesemua kedai 7-Eleven itu adalah disebabkan masalah keterbatasan sumber dan urusan jual-beli saham perniagaan.

PT Modern International sebelum ini dilaporkan telah bersetuju menjual perniagaan rangkaian 7-Eleven Indonesia kepada PT Charoen Pokphand Restu Indonesia tetapi penjualan saham dan aset itu dibatalkan baru-baru ini setelah kedua-dua syarikat gagal mencapai kata sepakat.

Sehingga September 2016, terdapat 175 kedai 7-Eleven di Indonesia yang hanya beroperasi di Jakarta dan pada akhir tahun lepas lebih 20 kedai itu telah ditutup secara berperingkat atas alasan tidak menguntungkan.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai 7-Eleven telahpun menutup operasi mereka sejak minggu lepas lagi dengan meletakkan notis mengenai pemberhentian operasi.

Francais rangkaian 7-Eleven mula memasuki Indonesia pada 2008 dan dikelolakan oleh PT Modern Sevel Indonesia, anak syarikat PT Modern International.

Menurut laporan kewangan suku pertama 2017 PT Modern Internasional, hasil penjualan daripada 7-Eleven mengalami penurunan sebanyak 37.17 peratus daripada Rp220,66 juta (Rp1 juta lebih kurang RM300) kepada Rp138,62 juta.

Sementara itu Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita menyangkal dakwaan bahawa penutupan 7-Eleven itu menunjukkan kelembapan sektor peruncitan di Indonesia kerana masih banyak kedai runcit​​​​​​​ 24 jam tempatan beroperasi seperti biasa.

Katanya penutupan itu adalah disebabkan masalah dalaman dan kerugian yang dialami syarikat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk bertemu dengan pengurusan syarikat berkenaan bagi​​​​​​​mendapat maklumat lanjut mengenai penutupan kedai francais itu. – MalaysiaGazette