ENGLAND – Perlanggaran Sebastian Vettel dengan kereta Lewis Hamilton dikecam pelbagai pihak dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Bekas Presiden Formula Satu, Max Mosley berkata, pihaknya tidak boleh bertolak ansur terhadap insiden perlanggaran melibatkan kereta Ferrari dengan Mercedez yang dipandu Hamilton semasa perlumbaan Grand Prix Azerbaijan minggu lalu.

Persekutuan Formula Satu Antarabangsa (FIA) akan menyiasat lanjut insiden itu sambil menyifatkan pelumba Ferrari, Vettel sepatutnya dilucutkan daripada berlumba di litar Baku.

Mosley melabelkan kelakuan Vettel di Azerbaijan sebagai tidak boleh bertolak ansur dan sepatutnya digantung daripada berlumba perlumbaan yang menyaksikan pelumba Red Bull Racing muncul juara dalam saingan itu.

Vettel berlanggar sebanyak dua kali dengan kereta Hamilton semasa berada di belakang kereta kecemasan di Baku.

Pendahulu kejuaraan F1 itu telah dikenakan penalti hentian 10 saat dan pemotongan tiga mata dalam lesen F1 Vettel.

Bagaimanapun FIA pada Rabu mengesahkan pihaknya akan menyiasat secara mendalam insiden itu pada 3 Julai ini untuk menentukan tindakan susulan ke atas pelumba Skuderia Itali itu.

Mosley percaya hukuman awal yang dikenakan ke atas Vettel terlalu lembut dan pelumba itu sepatutnya dilucutkan daripada berlumba pada hari tersebut.

“Cadangan saya mengeluarkan Vettel daripada perlumbaan dan membawa perkara ini kepada Kongres Sedunia untuk rundingan.

“Dari sudut saya, kita tidak boleh bertolak ansur ke atas perbuatan Vettel di atas litar perlumbaan Ahad lalu.

“Jika dia melakukan kesalahan itu di atas jalan raya awam, sudah pasti lesen memandunya digantung oleh polis,” tegasnya.

Vettel menamatkan perlumbaan itu di tempat keempat dihadapan Hamilton yang menamatkan saingan di tempat kelima.

Insiden itu mencetuskan perang mulut antara Vettel dan Hamilton.