KUALA LUMPUR – Nama Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bakal lebih dikenali di Korea Selatan selepas menjalin kerjasama dengan CHS Football Korea.
Pengumuman kerjasama ini diumumkan kelab Kijang Emas itu di platform media sosial rasmi pasukan itu hari ini.
Presiden kelab, Rozi Muhamad mewakili pengurusan KDN manakala CHS Football Korea pula diwakili oleh pemilik syarikat, Son Jin-young.
CHS Football Korea merupakan pemilik kelab yang bersaing dalam saingan K4 League, FC Sejong.
Menerusi kerjasama itu, KDN dan CHS Football Korea akan mengadakan program pertukaran pemain Bawah 20 tahun (B-20) dan 23 Tahun (B-23) serta pengembangan bakat hingga ke Korea Selatan.
Sementara itu, Rozi percaya menerusi kerjasama itu, ia akan membantu KDN meningkatkan mutu bola sepak negeri itu dan Malaysia amnya.
“Melalui perjanjian ini, pihak KDN FC berharap ia boleh menaikkan lagi mutu industri bola sepak Kelantan serta Malaysia khususnya,” katanya.
Sebelum ini, nama Kelantan menjadi sebutan di bumi Korea Selatan selepas melantik jurulatih negara itu, Park Jae-hong. – MalaysiaGazette