Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto SAFWAN MANSOR, 03 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mengambil pendirian isu yang dibangkitkan Lim Kit Siang untuk melantik Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar (MB) Kelantan tidak muktamad setakat itu sahaja.

Menurut Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub, isu pelantikan seseorang Menteri Besar itu adalah hak dan kebebasan rakyat negeri masing-masing tanpa campur tangan pihak lain.

“Itu pandangan dia (Kit Siang) dalam satu majlis, tapi untuk memilih seorang MB ialah parti yang menang nanti itu rakyat mesti faham.

“Kalau sesiapa yang nak menamakan itu hak individu masing-masing dan kita tidak terikat dengan pandangan itu, melainkan nanti berlakunya PRU kita pastikan siapa yang mendapat​ majoriti dia akan diberi tanggungjawab,” katanya dalam sidang media di Wisma PAN hari ini.

Malah katanya, PAN menyifatkan kenyataan Kit Siang terhadap Naib Presidennya itu cuma pandangan peribadi.

“Tentang siapa nak jadi PM, nak jadi Menteri, siapa nk jadi MB bagi saya biar rakyat yang menilai, rakyat ini bukan bodoh siapa yang paling layak,” tambah Salahuddin.

Kata-kata itu turut menyokong kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkata, hanya rakyat Kelantan yang berhak memilih individu untuk mewakili mereka.

Semalam, Azmin menempelak kenyataan Lim Kit Siang yang didakwa menamakan Husam sebagai calon MB Kelantan.

Kata Azmin, penasihat DAP itu tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa layak untuk memegang jawatan itu sekiranya PH menang pada PRU-14 kelak. -MalaysiaGazette.