Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPDNKK di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak perlu berselindung dan perlu mengaku bersalah kerana telah membayar lebih dan tinggi yuran rundingan untuk membina tiga lebuh raya berjumlah RM305 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, Guan Eng perlu berhenti mereka-reka cerita untuk menutup dan menafikan salah lakunya.

“Saya minta kawan-kawan kita sebelah sana (pembangkang), apa nak buat cerita bukan-bukan lagi, jawab saja kalau sudah bersalah itu, mengaku saja lah, ini bila buat salah, macam-macam (fitnah).

“Hari ini saya perhati bila kawan-kawan saya mempersoalkan tentang jumlah yang mereka keluarkan perbelanjaan untuk buat terowong, dia tak nak jawab, yang dia nak jawab lebih ialah nak cari kesalahan orang,” katanya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng berhubung kos juru runding pembinaan jalan sepanjang 10.53 kilometer mencecah RM120.4 juta sedangkan had bagi yuran berkenaan cuma RM11.7 juta sahaja.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To berkata, yuran berkenaan sudah merangkumi 32 peratus daripada kos keseluruhan jalan raya menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang bernilai RM337.6 juta.

Mengulas lanjut, Hamzah juga berkata, sebagai pemimpin kerajaan negeri, Guan Eng tidak perlu mengelak menjawab lagi dakwaan tersebut kerana rakyat ingin perkara sebenar.

“Bila dia ada kuasa untuk menjawab, dia kena jawab, jangan cuba untuk mengelak sana sini, kita adalah satu masyarakat boleh hidup bersama tanpa pembangkang yang merosakkan pemikiran kita.

“Saya rasa yang terbaik sekarang ialah bekerjasama, cuba untuk kurangkan sebanyak mungkin pembangkang dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.